Radio IKIM.FM : klik button play untuk dengar

Jumaat, 30 Julai 2010

Teks Pidato : Transformasi Itu Perubahan, Perubahan Itu Kejayaan

Penulis : 
Saudara Ikhwan Nain

Penyunting
Encik Ali Bin Rashid, Pustakawan Politeknik Kk

Bismillahirahmanirrahim...
Muslimin muslimat yang saya kasihi…

Berdirinya saya di sini bukan kerana tidak diberikan kerusi,
Tetapi untuk bersama kita memahami, mendalami serta menyelami,
Sebuah bicara perdana yang berkisarkan…

“Transformasi itu perubahan, perubahan itu kejayaan”
   
Sekalung budi saya hulurkan buat saudara pengerusi, kombinasi intelektual kehakiman bervisi, dif-dif kehormat yang disanjungi serta muslimin muslimat yang saya dikasihi. Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakkatuh, Salam Perpaduan, Salam Mahabbah dan Salam 1 Malaysia saya ucapkan kepada yang sudi melapangkan masa… Apa khabar hendaknya saudara ku yang tercinta?

Muslimin muslimat yang dikasihi,

Berdasarkan Kamus Pelajar edisi kedua Transformasi merupakan frasa yang  terbit dari perkataan Transformation yang membawa tiga erti. Antaranya Mengubah bentuk; Menjelmakan dan merubah sesuatu keadaan yang lebih terarah kepada kebaikan.

Menurut Prof. Dr. Muhammad Quraish Shihab Transformasi membawa erti "Yukhrijuhum min adz-dzulumati ila~an-nur"; yang bermaksud "Mengeluarkan manusia dari aneka kegelapan menuju cahaya." Dengan kata lain, berbicara tentang transformasi berkehendakkan kita berbicara untuk tentang perubahan yang mengintegrasikan aspek duniawi dan ukhrawi agar mencapai kejayaan yang berkualiti.

Pada pagi ini kita 3 skop akan kita tinjau bersama, pencapaian khaira ummah, pencapaian dunia semasa serta hakikat sebuah pro dan kontra.

Muslimin & Muslimat sekalian, Transformasi pertama ‘khairah ummah’…

Sebelum kemunculan islam, di celah-celah masyarakat arab jahiliyyah wujudnya pelbagai budaya yang dikeji oleh Allah Subhana Wa Ta’ala. Zina, arak, judi dan pelbagai lagi sudah menjadi rutin sehari-hari. Hinggakan Rom dan parsi pun tidak sanggup untuk menakluki masyarakat ini.

Sehinggalah pada suatu masa diutuskan seorang Rasul dari sisi Allah Subhana Wa Ta’ala. Bingkas transformasi sebuah masyarakat yang terhina kepada masyarakat yang khaira ummah. Firman Allah Subhana Wa Ta’ala yang bermaksud :

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah. ( Surah ali-Imran : ayat 110 )

Hatta setelah kewafatan Rasullullah s.a.w yang tercinta, transformasi masih tidak terhenti sehingga menumbangkan Rom dan Parsi. Islam menjadikan penaung dua pertiga dunia sekaligus memacu berkembangan aspek sosial, politik dan ekonomi dengan mengimplementasikan/interpretasi ajaran al-Qur’an yang tinggi.

Buktinya kemunculan Ibnu Sina dengan sains perubatan moden, al-kharizwi dalam bidang al-jibra, al biruni dalam bidang geografi disamping banyak lagi tokoh yang disegani. Turut tidak dilupakan kemegahan kerajaan Islam di nusantara yang melahirkan Wali Songo serta professor Hamka, pencetus transformasi ilmu di nusantara.

Muslimin & muslimat yang dikasihi, Transformasi kedua perkembangan dunia sejagat.

Pada hari ini, apabila kita sebut tentang transformasi maka akan terpampanglah zaman renaissance di eropah sehingga pencapaian aero angkasa dan era digital di seluruh dunia. Jika dulu angkasa hanya boleh dilihat tetapi kini sudah sedia untuk diteroka secara dekat. Penyampaian maklumat juga sudah tidak terhad, hampir segalanya terletak dihujung jari.

Lantaran itu negara Malaysia tercinta juga tidak ketinggalan sama di mana pada 12 Disember 2006  negara kita telah melancarkan measat 3 bagi menggalakan transformasi dalam bidang informasi dan media. Kemudian diikuti dengan penghantaran angkasawan pertama Negara ke Stesen Angkasa Antarabangsa pada  4 September 2007.

Pada aspek lain transformasi turut menuntut anjakan dalam bidang pendidikan, sosial mahupun ekonomi. Contohnya seperti pelan transformasi politeknik dan model ekonomi baru yang kini bakal menjadikan Malaysia Negara berpendapatan tinggi dan terus berdaya saing di mata dunia.

Muslimin muslimat yang dikasihi,

Walau bagaimanapun jika kita kaji dulu dan kini pastinya kita sedari wujudnya sebuah krontradiksi. Semenjak tahun 1924 kita sudah mulai larut dalam transformasi acuan barat.  Mahu atau tidak kita terpaksa menerima hakikat bahawa transformasi masa kini tidak lagi seiring dengan syariat. Banyak idealogi barat telah menyusup masuk melalui pelbagai ruang lingkup dalam pembinaan tamadun manusia.

Sebagai contoh dasar pentadbiran didasarkan kepada sekularisma yang memisahkan kehidupan dunia dan agama, Kebebasan bersosial disandarkan kepada liberalisma yang merosakkan prinsip islam tercinta, serta perpaduan Negara bangsa mula dijana berprinsipkan pluralisma yang menyamakan islam dengan semua agama.

Akibatnya pelbagai krisis melanda masyarakat kita, kebejatan moral sudah menjadi tradisi. Buang bayi, judi dan korupsi sudah biasa didengari. Dari krisis makanan di afrika sehinggalah krisis kemanusiaan gaza, semuanya hanya sekadar tontonan di kaca mata antarabangsa. Kerana apa? Masyarakat kita langsung tiada kekuatan rohaniah.

Pun begitu ini tidak bermakna islam menolak pencapaian teknologi yang dikecapi. Sebaliknya ia menuntut keseimbangan duniawi dan ukhrawi.

Konklusinya transformasi bukanlah berbentuk lahiriah semata-mata. Aspek kebendaaan mahupun aspek kerohanian tidak boleh diabaikan. Firman Allah di dalam kitab suci al-Qur’an yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kedalam Islam secara keseluruhan ,dan jangan kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu”. ( Surah al-Baqarah : ayat 208 )

Semoga kita benar-benar memahami bahawa tujuan Allah menurunkan kitab suci adalah sebagai pelan transformasi agar memacu perubahan bagi mencapai kejayaan di sisi Tuhan.

Kata Saidina Ali :

“Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam, terpedayalah orang yang hari ini sama seperti semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih buruk dari pada semalam.” Jelaslah kini bahawa transformasi itu perubahan, perubahan itu kejayaan.

Wabillahi Taufiq wal Hidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakkatuh!

Jemput Berpesan2 Di Sini :)

0 ulasan:

Catat Ulasan

Kandungan blog ini adalah hasil buah fikir penulis dan dipetik daripada pelbagai sumber, sebarang usaha mengubah, menerbitkan dan menyebarkan kandungan dalam blog ini adalah dibenarkan untuk kebaikan. Sila sertakan link blog ini bagi memudahkan proses rujukan sekiranya anda copy & paste di dalam blog anda.